
KUALA LUMPUR: Anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd, berjaya mengeluarkan hasil gas pertamanya dari medan Bindu yang terletak 210 kilometer di perairan Terengganu.
Petronas dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu dicatatkan pada 9 Jun 2025, hanya kira-kira dua bulan selepas Petronas Carigali mengambil alih sepenuhnya peranan sebagai pengendali Kontrak Perkongsian Pengeluaran Gas (GPSC) pada 1 April 2025.
Pencapaian ini membuktikan komitmen syarikat untuk memastikan bekalan gas bagi Semenanjung Malaysia sentiasa terjamin dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali, Hazli Sham Kassim, berkata kejayaan itu menyerlahkan kesediaan operasi pihaknya sebagai pengendali GPSC serta kepakaran teknikal yang dimiliki.
“Ia juga mempercepat penjanaan pendapatan daripada gas domestik dan paling penting, memastikan nilai maksimum daripada sumber negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Operasi GPSC membekalkan hampir separuh daripada permintaan gas di Semenanjung Malaysia, menjana tenaga untuk loji kuasa industri serta pengilang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui infrastruktur sedia ada,” katanya.