Pesanan Anwar kepada Timbalan Menteri Baru

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan kepada semua timbalan menteri yang baru dilantik supaya terus memelihara hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk pada peringkat kementerian, agensi dan seluruh lapisan masyarakat.

Dalam hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri berkata amanah dan tanggungjawab yang dipikul semua timbalan menteri perlu digalas sebaik-baiknya agar setiap dasar Kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

“Peri pentingnya aspek komunikasi diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban,” katanya selepas menerima kunjungan timbalan-timbalan menteri yang baru di Putrajaya.

Seramai tujuh menteri termasuk dua lantikan baru serta lapan timbalan menteri lantikan baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani.