
KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka memerlukan antara US$852 bilion hingga US$1.1 trilion bagi membiayai usaha penyesuaian terhadap perubahan iklim menjelang 2050, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata jumlah berkenaan menggambarkan keperluan pembiayaan yang besar bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim.
Beliau berkata, berdasarkan Country Climate and Development Report Bank Dunia mengenai Malaysia, isu penyesuaian iklim kini perlu dilihat bukan sekadar sebagai agenda alam sekitar, tetapi turut berkait rapat dengan pembangunan dan kestabilan ekonomi negara.
“Ini menunjukkan terdapat kekurangan struktur dalam seni bina kewangan kita yang masih belum mengiktiraf sepenuhnya keperluan penyesuaian dan daya tahan. Kesannya juga tidak diagihkan secara sama rata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada SC-AlBaraka Forum Strategic Dialogue di Inner Temple Theatre, United Kingdom, Isnin.
Mohammad Faiz turut memaklumkan negara membangun memerlukan antara US$310 bilion hingga US$365 bilion setahun menjelang 2035 untuk memenuhi keperluan penyesuaian iklim.
Bagaimanapun, pembiayaan awam antarabangsa bagi tujuan itu hanya mencecah US$26 bilion pada 2023, menunjukkan jurang pembiayaan semasa adalah sekitar 12 hingga 14 kali ganda lebih besar.
Katanya, penglibatan sektor swasta perlu diperkasa kerana sumber awam sahaja tidak mencukupi untuk menangani cabaran berkenaan.
Beliau berkata pembiayaan swasta ketika ini hanya sekitar US$5 bilion setahun, berbanding potensi kira-kira US$50 bilion sekiranya disokong dasar yang sesuai dan mekanisme blended finance.
Pendekatan itu, katanya, mampu mengurangkan risiko pelaburan, meningkatkan daya maju projek serta menarik lebih banyak modal komersial untuk membiayai projek ketahanan iklim.
Sumber : Bernama