Pertumbuhan KDNK 4.9% cermin reformasi ekonomi berkesan

Foto Sinar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi ambang unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peritus.

Perdana Menteri berkata ia adalah cerminan keberkesanan reformasi ekonomi di bawah Kerajaan Madani.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meski Malaysia turut merasakan bahang tarif timbal balik Amerika Syarikat pada tahun lepas, reformasi ekonomi di bawah Kerajaan Madani memastikan kesannya tidak membebankan rakyat.

“Subsidi terus disasarkan kepada golongan memerlukan, menjadi tongkah yang memelihara kuasa beli rakyat jelata.

“Hubungan diplomatik diperkukuh dengan pelbagai negara turut menambah keyakinan untuk merancakkan pelaburan langsung asing serta perdagangan dengan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa bagi keseluruhan 2025, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 4.9 peratus, iaitu menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.