Pertemuan dengan Rubio Bukti Hubungan Erat

Foto PMO

Pertemuan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi bukti hubungan erat yang terus berkembang di antara kedua-dua negara.

Dalam suasana geopolitik kompleks dan era ketidaktentuan perdagangan global, pertemuan ini membawa mesej jelas kedua-dua negara berhasrat melonjakkan hubungan ke tahap lebih strategik dan menyeluruh.

Antara isu utama dibincangkan ialah pengenaan tarif 25 peratus oleh AS terhadap produk tertentu dari negara ini. Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan unilateral ini yang dilihat boleh menjejaskan kelancaran perdagangan bebas serta membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara, terutama negara dagang seperti Malaysia.

Perdana Menteri menganggap dasar seumpama itu harus dinilai semula melalui dialog terbuka dan saksama. Malaysia menegaskan keperluan mengekalkan saluran rundingan antara kedua-dua negara demi mencapai penyelesaian adil, tidak mendiskriminasi dan menghormati hak negara membangun.