
Kelesuan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan perlu ditangani dengan pendekatan lebih tersusun dan menyeluruh, termasuk memperkasakan pendidikan jati diri dan kempen kesedaran secara besar-besaran.
Profesor Jabatan Sejarah dan Tamadun, Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata, contoh kelesuan itu apabila kemeriahan kibaran Jalur Gemilang yang dilihat merosot walaupun ia bukanlah satu perkara luar biasa.
Sebaliknya, beliau berkata, fenomena itu berlaku secara semula jadi apabila generasi baharu semakin jauh daripada perjuangan kemerdekaan.
“Apa pun kita tidak boleh menilai sambutan bulan kemerdekaan dalam keadaan sekarang secara pesimistik kerana bulan Ogos baru bermula, tetapi diakui tanda-tanda kelesuan itu memang ada,” katanya.