Perjanjian Malaysia-AS ada ‘exit clause’: Anwar

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Tidak terikat. Ada klausa yang membolehkan negara menamatkan atau menarik diri secara sah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) yang ditandatangani di antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Penjelasan itu dibuat Perdana Menteri berikutan pelbagai dakwaan mengaitkan Malaysia terikat dengan Amerika melalui pemeteraian perjanjian terbabit.

Beliau berkata, klausa terbabit turut diberi penekanan serius oleh Jemaah Menteri.

“Saya tak minta saudara (Ahli Parlimen) berterima kasih tapi jangan kutuk seolah kita ini boneka Amerika, mana mungkin boleh cakap sedemikian rupa.

“Tetapi perjanjian perdagangan ini semuanya ada ‘exit clause’ (klausa untuk tamatkan perjanjian), kenapa kita tandatangani juga?

“Ini kerana kita perlu pelaburan dan perdagangan tinggi dengan Amerika, namun soal menyerah itu tak timbul,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa terdapat 40 klausa yang mengikat Malaysia, selain turut menyamakan perjanjian itu sebagai satu bentuk penjajahan terhadap negara.

Wan Ahmad Fayshal turut mendesak Perdana Menteri supaya membawa perjanjian itu untuk dibahaskan di Parlimen.

Anwar kemudian turut menggesa ahli Parlimen pembangkang supaya tidak terus berprasangka sebaliknya teliti dahulu setiap butiran perjanjian terbabit secara menyeluruh.