Perhilitan pantau ngauman harimau di Proton City

Foto hiasan

IPOH: Orang ramai mendakwa mendengar ngauman harimau berdekatan berdekata Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City, dekat Tanjong Malim dan meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan siasatan

Pengarahnya, Yusoff Shariff, berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi, namun sudah menghantar petugasnya untuk menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dilakukan berikutan tular satu video di platform media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan bunyi ngauman harimau.

“Setakat ini, kami hanya menerima laporan berhubung dakwaan orang ramai terdengar bunyi ngauman harimau melalui aplikasi kumpulan WhatsApp.

“Perhilitan sudah menghantar petugas untuk menyiasat perkara itu dan mereka akan ke lokasi untuk pemantauan serta tindakan lanjut,” katanya.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 15 saat itu, kedengaran ngauman seperti harimau yang didakwa berhampiran hutan berdekatan sebuah sekolah menengah dan kawasan perumahan di Proton City.