Perhilitan Nafi Jual 19 Ekor Gajah

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Perhilitan menafikan dakwaan jabatan itu menjual 19 gajah kepada pihak tertentu seperti yang tular di media social.

Menyifatkan dakwaan itu mengelirukan, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata gajah berkenaan tidak dijual sebaliknya pemindahan secara pinjaman yang dilaksanakan bagi tujuan konservasi dan pengurusan hidupan liar secara berterusan.

“Pelaksanaan pemindahan ini adalah sebahagian daripada usaha strategik jabatan dalam memastikan kelangsungan spesies sekiranya berlaku sebarang wabak penyakit atau bencana di habitat asal, mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta memperkukuh program konservasi melalui kerjasama dengan pihak berkaitan.

“Pendekatan ini juga penting sebagai strategi ‘insurans populasi’, iaitu penempatan sebahagian individu di lokasi berbeza dapat mengurangkan risiko kehilangan populasi secara besar-besaran akibat faktor luar jangka seperti penyakit berjangkit, kemusnahan habitat atau bencana alam,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama ini turut membuka ruang kepada pemindahan teknologi dan kepakaran, khususnya dalam bidang pembiakan terkawal, pemantauan kesihatan, pemakanan serta pengurusan habitat secara moden.