
KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengumumkan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia mulai esok hingga 7 Oktober ini atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut kenyataan Wisma Putra lawatan itu adalah sebagai membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.
Turut mengiringi pemimpin Pakistan itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Mohammad Ishaq Dar.
Shehbaz akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 6 Oktober diikuti mesyuarat dua hala bersama perdana menteri.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama antara Malaysia-Pakistan, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan,” menurut Wisma Putra.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan dan pembanterasan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana, serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.