
KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil negeri disambut baik oleh pemimpin Sabah.
Mereka juga menggesa rakyat negeri itu meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata keputusan itu, bukan sahaja menunjukkan penghormatan terhadap hak perlembagaan Sabah, malah menzahirkan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri.
“Saya menggesa rakyat Sabah untuk meletakkan keyakinan terhadap Perdana Menteri kita dan Kerajaan Perpaduan ini, yang berulang kali menunjukkan usaha tulusnya untuk membantu membangunkan dan melindungi Sabah,” katanya.
Pada 17 Oktober, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tahun 1974 hingga 2021.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, menunjukkan bahawa Anwar memahami harapan dan aspirasi rakyat Sabah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri itu, merupakan hak perlembagaan yang tidak boleh dirunding atau ditangguhkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustafa Sakmud yang mengalu-alukan keputusan bersejarah itu dan menyifatkan ia sebagai titik pemulihan keadilan fiskal yang dinantikan hampir 50 tahun oleh rakyat Sabah.