
SINGAPURA: Perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) di antara Malaysia dan Singapura berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebarang pengaturan pada masa depan mesti memastikan pergerakan trafik udara berjalan lancar tanpa halangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mengiktiraf keperluan Singapura untuk aliran trafik udara yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar, manakala Malaysia juga memerlukan pergerakan penerbangan bebas ke Sabah dan Sarawak.
“Kita mengakui keperluan untuk menerima hakikat bahawa kita memerlukan aliran (selamat dan efisien) ke Changi dan Seletar, sama seperti kita memerlukan aliran yang efisien ke timur, ke Sabah dan Sarawak.
“Apa juga susunannya, ia tidak seharusnya menjejaskan pergerakan bebas trafik udara. Jika kita bersetuju dengan prinsip itu, saya fikir kita boleh bergerak ke hadapan dengan lebih pasti,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas sesi Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 di sini.