
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui mungkin wujud beberapa kelemahan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025, tetapi ia bukanlah alasan untuk pihak tertentu membantahnya.
Perdana Menteri berkata pihak berkenaan sebaliknya perlu mengemukakan syor untuk penambahbaikan RUU PSB 2025, bukannya membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat bagi memberi laluan kepada pembangunan semula.
“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di sini, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.
“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU PSB 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah). Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.
“Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional nilai ambang dalam RUU PSB 2025 untuk pembangunan semula bandar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.