Perbelanjaan Isi Rumah Meningkat, Gemar Makan di Restoran

Foto Hiasan / FMT

PUTRAJAYA: Gaya hidup rakyat Malaysia semakin beralih kepada aktiviti makan luar dan penggunaan perkhidmatan berkaitan hospitaliti, menurut kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2024 yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perubahnan corak perbelanjaan ini semakin ketara apabila berbelanja di restoran dan menggunakan perkhidmatan penginapan meningkat kepada 17 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah pada 2024.

Kajian itu mendapati kategori restoran dan penginapan sebagai antara empat perbelanjaan utama rakyat Malaysia, selain perumahan, makanan serta pengangkutan.

Menurut laporan itu, perbelanjaan isi rumah bulanan purata meningkat 3.9 peratus setahun kepada RM5,566 pada 2024, dengan sebahagian besar perbelanjaan datang daripada sumber bukan pendapatan seperti bantuan kerajaan bukan tunai dan hasil keluaran sendiri.

“Perbelanjaan makan di luar meningkat, manakala perbelanjaan makan di rumah menunjukkan sedikit penurunan, menandakan kecenderungan gaya hidup moden yang lebih urban dan mobil,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut Laporan HIES 2024, perbelanjaan dalam kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain kekal sebagai komponen terbesar pada 23.5 peratus, diikuti restoran dan perkhidmatan penginapan (17 peratus), makanan dan minuman (15.7 peratus) serta pengangkutan (11.0 peratus).

Peningkatan perbelanjaan di restoran ini turut dikaitkan dengan kenaikan pendapatan isi rumah Malaysia yang terus menunjukkan pertumbuhan positif.