
Langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengurangkan pekerjanya secara berperingkat dibuat atas pelbagai faktor, antaranya pertindihan skop tugas berikutan peralihan kepada teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, pekerja yang terkesan ini tidak diabaikan, sebaliknya ada pelbagai usaha diambil bagi memastikan kebajikan mereka dan keluarga.
“Saya tak kata ini (penamatan perkhidmatan pekerja) satu perkara ringan, kita prihatin. Saya sendiri berbincang dengan Presiden Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik berulang kali bagi tangani masalah ini.
“Soalnya Petronas masih mencatat keuntungan. Jadi oleh itu, mengapa dan apa kemunasabahannya untuk membuang pekerja-pekerja ini atau untuk menghentikan?
“Alasannya ialah pertama, soalnya peralihan dari segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi baru termasuk digitalisasi, AI. Ada pertindihan pekerja,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.