
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus berkembang mengikut peredaran masa dan bersikap lebih demokratik, saran mantan Ketua Pemasaran persatuan itu, Sayf Ismail.
Menurut Sayf, tahap profesionalisme FAM sangat rendah manakala gaya pentadbirannya yang lapuk harus ditinggalkan.
Dalam temubual di Channel10, Sayf berkata: “FAM tak demokratik, terlalu banyak control sedangkan badan itu harus menggalakkan siapa sahaja yang ingin menyumbang”.
“Cara pengurusan FAM perlu berubah. Exco dan gabungan tak rapat dan Kerjasama tak ada,” kata Sayf yang menawarlkan dirinya sebagai Presiden menggantikan Hamidin Amin.
Kongres FAM akan bersidang 15 Februari ini untuk memilih presiden baru.
Sayf mengakui bahawa peluangnya mungkin tipis tetapi niatnya ialah untuk menonjolkan kematangan politik bolasepak dan buka perbincangan agar FAM mendapat tokoh terbaik.
Beliau berharap kongres akan datang ini menyaksikan debat dan keterbukaan untuk menyuburkan demokrasi badan bolasepak itu.
“Presiden bolasepak negeri kenalah turun padang dan berbincang. Bukan sekadar cakap saya cadang, saya sokong. Kematangan kena ada. Jika tidak kongres hanya akan jadi macam persatuan sekolah,” katanya.
Menurutnya, semua mesti ada keberanian untuk bersuara.
“Kalau dipilih jadi Presiden ok. Jika tak menang pun saya akan terus menjadi orang yang menyokong demi kemajuan sukan ini,” katanya.
ends