
KUALA LUMPUR: Penjawat awam digalak memakai baju batik setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat susulan langkah menyelaras suhu penyaman udara kepada minimum 24 darjah Celsius bagi penjimatan tenaga.
Saranan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat edaran kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dimuat naik di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.
Wan Ahmad berkata, ketetapan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan pegawai awam.
“Di bawah perenggan 5, Jadual 1 (iii): Pakaian Pegawai Lelaki Ketika Menjalankan Tugas dan perenggan 8, Jadual 2 (ii): Pakaian Pegawai Wanita Ketika Menjalankan Tugas, pemakaian baju batik adalah diwajibkan setiap Khamis dan digalakkan dipakai pada setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata, selain itu, Ketua Jabatan boleh membenarkan pegawai bertugas memakai baju korporat atau baju kerja lapangan pada hari tertentu untuk tujuan tertentu semasa bertugas selaras dengan perenggan 13 Ceraian UP.7.2.3.
“Pegawai juga dibenarkan memakai baju korporat setiap hari kecuali pada Khamis… namun, ketetapan ini adalah dikecualikan bagi pegawai yang disyaratkan memakai pakaian seragam,” katanya.