Penjawat Awam Diharamkan Guna Waze Serta-Merta

KUALA LUMPUR — Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang bersidang semalam. Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi surat bertarikh 20 Oktober, memaklumkan Mesyuarat JKSN Bilangan 3 Tahun 2026 itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan larangan Waze itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan, untuk dilaksanakan serta-merta.

“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan ini, bolehlah dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, selaku agensi penyelaras bagi perkara ini,” menurut surat tersebut. Surat itu ditujukan kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Semalam, Anwar menggalakkan orang ramai beralih kepada aplikasi tempatan TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya. Perdana Menteri berkata saranan itu dibuat berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat, susulan penggunaan Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

Aplikasi TuJu dibangunkan LLM dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd dan dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November 2025. Aplikasi navigasi tempatan itu tersedia di Google Play Store dan Apple App Store, menawarkan maklumat laluan, jarak perjalanan, anggaran masa ketibaan (ETA), tol dan trafik masa nyata, selain kemudahan R&R, akses kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung serta bantuan kecemasan.

Sumber : Bernama