
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia.
IMF dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong penggunaan dan pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan negara kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi.
Beliau berkata, ia tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab, malah mesti dirasai rakyat, melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil, dan keyakinan yang tinggi terhadap masa depan.
“Kerajaan Madani akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan mempercepat pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), agar pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.