
KUALA LUMPUR: Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan turun ke bazar Ramadan bagi memantau sebarang elemen pencatutan dan memastikan semua peniaga mempamerkan tanda harga dengan jelas.
KPDN memberi amaran tegas kepada peniaga bazar Ramadan supaya patuh peraturan termasuk meletakkan tanda harga, atau berdepan tindakan dalam tempoh 24 jam.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan perkara itu bukan isu kecil dan ia jelas satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Ya, itu salah satu undang-undang yang wajib dipatuhi. Kita harap rakan media yang turun ke bazar Ramadan boleh bantu salurkan maklumat jika ada peniaga tidak letak tanda harga.
“Maklumkan bazar mana, kita akan pantau pada kadar segera. Komitmen kita, apa-apa isu berkaitan harga termasuk penandaan harga, kita akan ambil tindakan susulan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Langkah itu penting bagi melindungi pengguna daripada caj tidak munasabah, terutama ketika permintaan tinggi sepanjang Ramadan, katanya.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi. Ini bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh menyebabkan harga naik mendadak.