Penguatkuasaan di sekolah diperkukuh: Saifuddin

Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan lebih ketat dan penambahan polis di sekolah akan dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.

Langkah itu diambil berikutan penyalahgunaan peranti dan media sosial di kalangan pelajar yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama menyumbang kepada gejala buli, tekanan emosi serta kemerosotan disiplin di sekolah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, bagi melengkapkan usaha itu, KDN melalui PDRM akan melaksanakan tindakan bersepadu berasaskan pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.

“Ini termasuk memperkukuh kempen kesedaran keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Selain itu, meningkatkan rondaan dan kehadiran polis di kawasan sekolah (police omnipresence), selain memperkasakan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata, KDN menyokong penuh terhadap langkah tegas dan berpandangan jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkenalkan dasar bagi mengehadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan, lucah serta unsur-unsur negatif dan berbahaya yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak di bawah umur.