Pengorbanan Sukarelawan GSF Wakili Suara Malaysia: PM

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Pengorbanan dan keberanian sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) mesti dihargai kerana ia mewakili suara dan perasaan majoriti rakyat Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menyaksikan pementasan Teater Perdana Sungai Mengalir Lesu di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keprihatinan dan simpati mendalam rakyat Malaysia terhadap penderitaan penduduk Gaza terbukti melalui pembabitan sukarelawan negara dalam misi kemanusiaan itu.

“Mereka mewakili denyut nadi, perasaan majoriti rakyat negara kita dan telah memberi sumbangan besar.

“Sumbangan mereka bukan sahaja kepada perjuangan ini, tetapi juga kepada masyarakat manusia seluruh dunia yang sering lena dengan kemewahan dan penipuan, hingga membiarkan kezaliman berlarutan begitu lama,” katanya.

Menurut Anwar, sumbangan besar sukarelawan itu tidak boleh dipandang ringan kerana mereka membuktikan bahawa manusia tidak mungkin ditekan atau dinafikan hak untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Katanya, beliau sudah berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang sukarelawan negara yang ditahan, meskipun masih terdapat beberapa individu menghadapi kesukaran untuk pulang dan kini masih berada dalam tahanan rejim Zionis Israel.