
BACHOK: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara dua minggu ke atas seorang penghulu yang didapati bersalah mencabul seorang wanita warga emas Sabtu lalu.
Penghulu berusia 54 tahun itu juga didenda RM1,000 oleh mahkamah. Hukuman penjara dua minggu pula bermula dari tarikh tangkapannya pada Ahad.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata lelaki berkenaan membuat pengakuan itu selepas didakwa di Mahkamah Majistret Bachok.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi pada Sabtu lalu semasa mangsa datang ke kedai runcit milik suspek untuk mengecop borang permohonan bantuan,” katanya.
Menurut beliau, penghulu itu kemudian ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.