
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri akan bermesyuarat untuk membincangkan pengaruh dan kesan media sosial ke atas disiplin dan keselamatan di sekolah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdna Menteri berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu masalah disiplin dan keselamatan di sekolah, termasuk yang dikaitkan dengan penggunaan serta pengaruh media sosial.
Menurutnya, mesyuarat mengenai perkara terbabit akan dilakukan dalam tempoh terdekat supaya ada tindakan yang boleh dilaksanakan.
“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen mengenai sekolah terbabit, tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi.
“Jadi mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini. (Kerajaan) harus ambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga maut ditikam seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Selangor, semalam.