Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia 18 April kekal, kata kerajaan

Foto BH

KUALA LUMPUR: Penerbangan pertama jemaah Malaysia ke Tanah Suci musim ini masih dijadualkan pada 18 April depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, persiapan berjalan lancar dan dijangkakan tiada perubahan termasuk jadual penerbangan jemaah tanah air.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) turut bersiap sedia dengan pelan luar jangka yang baik bagi mendepani sebarang kemungkinan susulan krisis Asia Barat yang masih belum mereda.

“Apa saya boleh rumuskan setakat ini, rancangan haji berjalan seperti yang kita rancang. Insya-Allah doakan penerbangan pertama akan berlepas ke Tanah Haram pada 18 April.

“Daripada aspek lain, TH sudah mempunyai pelan kontigensi yang sangat baik. Ini kelebihan negara kita kerana ada pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) Ke-16 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, semalam.

Turut hadir, Canselor UniMAIWP, Tan Sri Azman Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UniMAIWP, Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub dan Pro Canselor UniMAIWP, Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian pelan luar jangka itu.