
TUMPAT: Berikutan hujan berterusan, penduduk sekitar daerah ini kembali berjaga-jaga kerana percaya ia petanda banjir gelombang kedua yang dijangka lebih buruk akan menyusul.
Tinjauan beberapa kampung termasuk Kampung Kuala Jambu, Kubang Sawa, Bendang Pak Yong, Naga Ibu, Kajang Sebidang dan Simpangan mendapati mereka masih meletakkan barang dan perkakas penting di atas para walaupun sudah dua minggu banjir 23 November lalu sudah surut.
Menurut penduduk Kampung Kubang Sawa, Rosnani Mat Roni, 49, walaupun hampir dua minggu banjir sebelum ini surut, semua perkakas dalam rumah termasuk barangan elektrik kekal di tempat tinggi.
“Sebahagian besar penduduk di sini, pasti membina pangkin atau para dalam rumah untuk dijadikan tempat meletak barangan bagi mengelakkan rosak akibat banjir,” katanya.
Dia berkata, jika paras air semakin meningkat di dalam rumah, suami dan anak lelakinya akan tidur dalam bot yang ditambat di tiang rumah dan rata-rata penduduk berbuat perkara yang sama disebabkan ingin menjaga kediaman masing-masing.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka melanda beberapa negeri hingga Khamis ini.