Penduduk Dakwa ADUN Terdahulu Lambat Respon Aduan

Foto Channel 10 / Hayla Rashid

PEKAN NANAS: Penduduk Pekan Nanas meluahkan rasa kecewa terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu yang didakwa mengambil masa terlalu lama untuk memberi maklum balas dan menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.

Menurutnya, kelewatan tersebut menyebabkan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk tidak dapat diselesaikan dengan segera, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.

Seorang penjawat awam, Maggie, berkata setiap permohonan bantuan yang dikemukakan sering mengambil masa yang panjang sebelum sebarang tindakan diambil.

“Memang ada pencapaian, tetapi apabila memohon bantuan atau pertolongan, saya rasa ia tidak memuaskan.

“Apabila meminta bantuan, memang dimaklumkan bahawa bantuan akan diberikan, namun prosesnya terlalu lama sehingga kami sendiri tidak nampak sebarang tindakan yang diambil,” katanya kepada Channel 10.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong atau lebih dikenali sebagai Cikgu Yeo, berkata beliau komited untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat sekiranya diberikan mandat.

“Jika saya diberi peluang, saya mahu memastikan tiada warga Pekan Nanas yang tercicir daripada menerima bantuan walau apa juga kekangan yang dihadapi,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Tan Eng Meng daripada Barisan Nasional memperoleh 11,024 undi dengan majoriti 4,835 undi.

PRN dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, selepas hari penamaan calon pada 27 Jun, manakala pengundian awal diadakan pada 7 Julai.