Pendidikan percuma PTPTN bantu pelajar B40

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan menikmati manfaat daripada keputusan kerajaan memberikan pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Keputusan kerajaan itu dilihat satu langkah bermakna ke arah peluang pendidikan yang saksama serta dapat meringankan beban kewangan mereka.

Pakar Pengurusan Pendidikan, Perancangan dan Polisi, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata, bagi kebanyakan isi rumah B40, halangan terbesar bukan bakat atau motivasi, sebaliknya kemampuan kewangan.

Inisiatif ini,katanya memberi peluang terbaik kepada pelajar berpotensi untuk mengejar impian mereka tanpa dihalang oleh pendapatan keluarga.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan jumlah 5,800 pelajar ini masih lagi kecil berbanding keseluruhan populasi universiti dan kita mesti memastikan bantuan itu turut merangkumi kos sara hidup serta bahan pembelajaran, bukan hanya yuran pengajian semata-mata,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2026 kelmarin mengumumkan kerajaan akan menyediakan Pendidikan Percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang melanjutkan pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM2,705.