
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan pendekatan menyeluruh dan signifikan dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup yang dihadapi melalui beberapa inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif utama yang diumumkan termasuk peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan memberi manfaat kepada 22 juta warganegara berusia 18 tahun ke atas dengan peruntukan RM2 bilion.
Jurucakap kerajaan itu berkata, melalui program ini, rakyat boleh menebus RM100 yang dimasukkan ke dalam MyKad mereka di lebih 4,000 premis yang menyertai program SARA di seluruh negara untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan telur.
“Ini dilaksanakan setelah maklumat diberi kepada Perdana Menteri dalam beberapa perbincangan dengan anggota Jemaah Menteri, menunjukkan beliau cakna, prihatin dan sangat sensitif terhadap keluh-kesah rakyat mengenai isu kos sara hidup,” katanya.