Pencapaian ekonomi hasil tatakelola kukuh, usaha banteras rasuah

Foto Fail / PMO

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,pencapaian ekonomi yang membanggakan, termasuk prestasi ringgit yang disifatkan antara terbaik di Asia, adalah hasil pembaharuan tatakelola dan usaha berterusan membanteras rasuah serta penyelewengan dana awam.

Perdana Menteri berkata pengukuhan nilai ringgit, pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kadar inflasi rendah serta peningkatan pelaburan asing dan domestik tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong oleh komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tadbir urus.

“Ia terkait dengan isu governance. Tatakelola yang baik dapat mengelakkan rompakan harta negara dari orang yang berkuasa.

“Ia menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan dana. Itu kita lakukan dan yang tentunya menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana.

Anwar berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha menteri semata-mata, sebaliknya membabitkan kerjasama seluruh jentera kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, penjawat awam, dan disokong oleh sektor swasta, institusi pengajian tinggi serta pakar akademik bagi merangka dasar yang boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi.