Penarafan MSU Lonjak 200 Kedudukan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Kedudukan Management and Science University (MSU) melonjak pada tangga 601-800 di seluruh dunia, lantas mengukuhkannya sebagai antara institusi pendidikan tinggi terbaik.

Lonjakan 200 kedudukan itu, menurut kenyataan institusi itu, berdasarkan kedudukan terkini Penarafan Universiti Sedunia 2026 Times Higher Education (THE), MSU dan ia mencatat kedudukan antara tangga ke-801 hingga 1,000 dunia.

“Pencapaian itu merangkumi penilaian terhadap 2,191 institusi dari 115 negara dan wilayah, iaitu peningkatan ketara berbanding 2,092 institusi yang tersenarai dalam Penarafan Universiti Sedunia 2025 THE.

“Penarafan Universiti Sedunia THE yang berpangkalan di United Kingdom (UK) itu menilai lima petunjuk utama iaitu pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan pandangan antarabangsa.

“Lonjakan kedudukan MSU dalam Penarafan Universiti Sedunia 2026 THE itu selaras dengan kedudukan institusi terbabit dalam penarafan Penarafan Kesan THE 2025 apabila disenaraikan pada kedudukan 101-200 dunia,” katanya.

Sebanyak 27 institusi pengajian tinggi di Malaysia disenaraikan dalam Penarafan Universiti Sedunia 2025 THE dan MSU berada pada kedudukan 10 terbaik secara keseluruhan.