Pemilik Flat, Rumah Teres Terima RM884,000-RM8.1 juta

Foto NSTP

PUTRAJAYA: Sebanyak RM62.57 juta bayaran pampasan setakat ini sudah diberikan kepada pemilik dan pihak berkepentingan dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Dr Khairul Nizam Othman, berkata penentuan jumlah pampasan dibuat oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Menerusi tawaran usaha sama, pemilik rumah flat akan memperoleh sebuah rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM884,000 sehingga RM1 juta.

“Pemilik rumah teres akan memperoleh antara tiga hingga sembilan rumah ganti dengan anggaran tawaran antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” katanya ketika membentangkan isu berkaitan Kampung Sungai Baru di sini.

Khairul Nizam berkata, bayaran pampasan itu membabitkan elemen nilai hartanah, kos selenggara, penambahbaikan, kos pindah, kos sewa sementara, kos kehilangan pendapatan, kos hadir bicara, fi penilaian serta lain-lain.

Katanya, bagi pemilik rumah flat, tawaran diberikan kepada mereka yang terbabit dalam pengambilan tanah, akan mendapat sebuah rumah dengan harga yang berpatutan.

Ia membabitkan sebuah kediaman berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki dengan harga separuh daripada jumlah pampasan diterima oleh pemilik rumah flat Kampung Sungai Baru.