
TUARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkannya berprinsip, bersih dan konsisten memperjuangkan isu rakyat tanpa meminta sebarang kepentingan peribadi.
Menurutnya, Hajiji tidak pernah membawa permintaan bersifat peribadi, sebaliknya hanya menekankan keperluan rakyat termasuk masalah air, elektrik, jalan serta kebajikan semua daerah di Sabah.
Beliau berkata, tidak pernah sekali dia minta apa-apa untuk peribadi atau keluarga. Dia beritahu siang dan malam fikir masalah orang Sabah… Datuk Seri jalan, Datuk Seri air sini, Datuk Seri elektrik ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran, di perkarangan Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, di sini.
Anwar menambah, pendekatan sebegitu membuktikan Sabah kini berada pada landasan kepemimpinan yang matang dan stabil, sekali gus memudahkan kerjasama di antara negeri dan pusat.
Perdana Menteri turut memberi peringatan bahawa politik berpecah, membabitkan banyak parti kecil atau calon Bebas, hanya akan menyukarkan pembentukan kerajaan stabil dan menyulitkan usaha mendapatkan peruntukan pembangunan.
Kestabilan antara kerajaan negeri khususnya Sabah dan Persekutuan adalah syarat utama untuk memastikan projek rakyat dapat diteruskan dengan lancar.
“Kita berdepan dengan terlalu banyak parti, ini bukan perkara main-main kerana kita perlu menjaga negeri. Jika calon Bebas menang, apa yang mereka boleh lakukan dan kepada siapa mereka mahu merujuk? Untuk berurusan dengan Perdana Menteri, ia memerlukan kerjasama yang jelas dan saluran yang betul, barulah keputusan dapat dibuat dengan segera.”
Dalam ucapannya, Anwar turut menegur sesetengah pihak yang hanya tampil berani mengkritik, menyerang dan menabur kebencian ketika musim kempen, tetapi tidak membawa perubahan ketika pernah berkuasa.
Ada kumpulan hanya kritik tapi tak buat ketika berkuasa dan beliau menyifatkan
pendekatan itu hanya menguntungkan kelompok politik tertentu, sedangkan rakyat biasa terus susah.
Dengan nada serius beliau berkata, yang kamu mohon, kami bagi. Apa, mau perang? Mau gaduh? Kamu gaduh, tapi kamu kaya. Gaduh rakyat, rakyat miskin. Sebab itu saya langsung tidak setuju dengan politiknya sebegini. Kamu cakap besar, kamu serang sana, serang sini, fitnah sana, fitnah sini, kamu kaya… rakyat miskin.
Beliau turut menambah bahawa ada pihak yang ketika memegang jawatan tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, namun selepas hilang kuasa, mereka menampilkan diri seolah-olah paling bersih dan paling layak memimpin.
Anwar turut menekankan bahawa prestasi kerajaan perlu dinilai melalui penyampaian sebenar, termasuk langkah menaikkan gaji penjawat awam selepas 12 tahun, meningkatkan gaji minimum hingga RM1,700 serta meneruskan bantuan Tunai Rahmah, eMadani, subsidi dan pelbagai inisiatif menyokong B40 dan M40.
Menurutnya, kejayaan ekonomi dan sosial tidak lahir daripada seorang individu tetapi hasil kerja berpasukan di antara kerajaan negeri dan pusat.