Pemerkasaan Ekonomi Mesti Seiring Budaya, Seni: PM

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha pemerkasaan ekonomi negara tidak akan lengkap jika tidak disertai pengukuhan budaya, seni dan nilai yang menjadi tunjang keutuhan masyarakat berbilang kaum.

Justeru, Perdana Menteri berkata usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara perlu dilaksana seiring dengan agenda memperkasa budaya.

“Teras kita (negara Madani adalah pemerkasaan ekonomi dan kemampanannya, tetapi yang kita nak bangunkan itu manusia.

“(Justeru) pemerkasaan ekonomi mestilah selari dengan pemerkasaan budaya. Kita (perlu) kembangkan nilai insan dan manusiawi dan kita tunjukkan kesediaan kita,” katanya ketika merasmikan Festival Budaya Malaysia (FBM) di Pentas Utama, Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas kejayaan pelaksanaan FMB, Anwar menyifatkan festival ini bukan hanya menggambarkan kehebatan Malaysia tetapi mempamerkan kekuatan kepelbagaian budaya di negara ini.

“Yang kita tonton dan tunjukkan pada malam ini adalah satu festival kerencaman budaya Malaysia yang kita banggakan.

“Kekuatan kita adalah dalam kepelbagaian.

“Kehebatan kita (pula) ialah kerana kesediaan kita menerima semuanya dari warisan negara, suku, kaum dan pelbagai lagi. Semuanya ada kekuatan masing-masing dan mempamerkan keindahan tersendiri,” katanya.