Pemergian Tun Abdul Hamid kehilangan besar

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Negara dan badan kehakiman kehilangan besar berikutan pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, semalam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham yang merupakan Ketua Hakim Negara dari 1 November 2007 hingga 17 Oktober 2008, banyak berjasa kepada badan kehakiman sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mewakili Badan Kehakiman Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya, kepulangan Allahyarham ke rahmatullah adalah satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.

Abdul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, tengah hari semalam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Toh Puan Hamidah Choong Abdullah, dan empat anak.