Pemergian Dr Siti Hasmah: PM zahir takziah, rangkaian media diminta beri penghormatan

Foto : Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jasa dan khidmat bakti Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada negara wajar dikenang, khususnya sumbangannya dalam kerja kebajikan serta keprihatinan terhadap permasalahan rakyat.

Menurut beliau, Dr Siti Hasmah dikenali sebagai seorang negarawan yang aktif melaksanakan kerja kebajikan dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu rakyat sepanjang tempoh suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Anwar merakamkan penghargaan atas jasa tersebut sambil menzahirkan rasa simpati kepada Dr Mahathir dan seluruh keluarga.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan pada persidangan International Future Conference 2026 (IFC 2026) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini. Beliau turut memaklumkan akan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memohon semua stesen televisyen dan radio tempatan menyederhanakan serta menyesuaikan pengisian program siaran masing-masing sebagai tanda penghormatan terakhir. Menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan kepada keluarga Allahyarham dan khusus buat Dr Mahathir sekeluarga, beliau menyifatkan pemergian itu sebagai satu momen yang amat mendukakan, sambil menyatakan Allahyarham banyak berjasa kepada negara dan sering dilihat sebagai individu yang dekat dengan rakyat. Fahmi berkata demikian selepas majlis perasmian pengendali mudah alih tempatan BeONE Mobile di sini hari ini.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun, meninggalkan tujuh orang anak. Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi.

Sumber : Bernama