
KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memohon agar pasport antarabangsa bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Abdul Azeez tidak ditahan, dengan hujah tiada bukti menunjukkan anak guam mereka berisiko melarikan diri, selain wujud keperluan mendesak untuk beliau ke luar negara bagi urusan perniagaan.
Peguam Amer Hamzah memberitahu mahkamah bahawa Abdul Azeez dilantik sebagai perunding sebuah syarikat di China sejak Jun tahun ini, satu tanggungjawab yang memerlukan perjalanan ke luar negara dan dikhuatiri terjejas sekiranya pasport terus ditahan. Beliau berkata anak guamnya telah disiasat sejak 2018 dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh berkenaan, tanpa sebarang bukti mengganggu saksi atau siasatan.
Amer Hamzah turut menghujahkan Abdul Azeez sedar pertuduhan bakal dikenakan selepas menjalani tempoh reman baru-baru ini dan berpeluang melarikan diri jika berniat berbuat demikian, sebaliknya beliau menghubungi peguam dan menyatakan kesediaan menghadapi apa jua pertuduhan kerana yakin dirinya tidak bersalah.
Pembelaan mencadangkan jaminan tidak melebihi RM500,000 dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga hingga empat bulan. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram bagaimanapun kekal berpendirian pasport tertuduh wajar diserahkan dan disimpan di bawah jagaan mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Amer Hamzah dibantu peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Ashok Athimulan dan Joshua Tay pada prosiding hari ini, yang turut dihadiri ahli keluarga termasuk anak lelaki tertuduh serta penyokongnya. Pada 27 Ogos lepas, Abdul Azeez direman tujuh hari sehingga 2 Sept bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Laporan RCI yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lepas antara lain mencadangkan audit forensik dijalankan bagi meneliti kaedah keputusan pelaburan lampau yang menyebabkan TH berdepan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan meliputi isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik, di samping mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat. Skop siasatan RCI merujuk penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, tidak termasuk pelan penstrukturan serta pemulihan yang sedang dijalankan ketika itu.
Sumber : Bernama