Pembantaian sistematik wartawan/Israel bunuh 213 petugas media.

Foto Sinar Harian

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengajak pertubuhan wartawan dan pekerja media menggembleng tenaga untuk mengutuk pembunuhan kejam dan sistematik wartawan Palestin.

Setakat ini, 213 wartawan syahid. Terbaru, penyiar dan penyunting berita, Nour Al-Din Matar Abdo terbunuh di kejiranan Al-Tuffah, timur bandar Gaza.

“Ini bukan lagi kerosakan sampingan tetapi pemusnahan terancang terhadap suara kebenaran, Wartawan, pengamal media dan kesatuan akhbar Malaysia perlu bangkit bersuara,” menurut kenyataan Mapim.

Pembunuhan wartawan adalah jenayah perang yang membungkam suara yang membela pihak tertindas.

Mapim juga menyeru kesatuan-kesatuan media untuk bersidang dan membincangkan langkah bagi melindungi wartawan Palestin.