Pembangkang Puji Usaha PM Damaikan Thai-Kemboja

Foto PMO

Pembangkang memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranan dimainkan beliau dan Malaysia sebagai perantara dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja, sehingga gencatan senjata berjaya dicapai di antara kedua-dua negara itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pembabitan Malaysia itu adalah usaha bagi memperkukuh kestabilan di rantau Asean, sekali gus membawa nama Malaysia terus kekal dihormati sebagai negara yang berdaulat.

“Apa pun peranan yang dimainkan Yang Berhormat Tambun, walaupun ada yang menyifatkan hanya sebagai tuan rumah (Malaysia selaku Pengerusi Asean), ia tetap menjadi satu peranan yang akan tersemat dalam lipatan sejarah. Saya ucapkan tahniah dan syabas.

“Apa yang penting, Malaysia terus kekal dihormati sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus dipandang tinggi sebagai kuasa pengimbang yang kompetitif dalam rantau Asia Tenggara,” katanya.