
KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif terus dilakukan untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk jaminan tambahan, kemudahan pembiayaan serta sokongan bagi memperkukuh inovasi dan pendigitalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia mencapai aspirasinya untuk kekal sebagai hab pelaburan yang diyakini di rantau ini.
“Ia juga bagi memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi global.
“Kita mahu melihat PKS tempatan lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dan harus diingat bahawa haluan masa depan mesti berpaksikan teknologi, kelestarian dan keterangkuman untuk terus berjaya,” kata beliau menerusi hantaran di laman sosial X, semalam..
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa PKS tidak alpa kerana transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi bukan lagi satu kemewahan tetapi telah menjadi keperluan utama yang akan menentukan daya saing dan kemajuan negara pada masa hadapan.