Pelarasan Subsidi RON95 Pilihan Terakhir

Kerajaan Malaysia tidak akan tergesa-gesa membuat sebarang pelarasan terhadap subsidi petrol RON95 memandangkan kesannya yang langsung terhadap perbelanjaan harian isi rumah rakyat, demikian kata penasihat kanan ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, dalam podcast popular Keluar Sekejap yang disiarkan di YouTube baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun kerajaan mempunyai beberapa pilihan dasar yang boleh dilaksanakan termasuk menaikkan harga RON95 daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 atau RM2.10, mahupun mengurangkan lagi kuota bulanan daripada 200 liter kesemua pilihan itu akan ditolak ke kemudian hari selagi mana keadaan membenarkan. Nurhisham turut menegaskan bahawa pengurangan kuota subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan yang dilaksanakan sebelum ini hanya memberi kesan kepada kira-kira 10 peratus pengguna bahan api di negara ini, bermakna majoriti rakyat Malaysia masih tidak terjejas.

Walaupun harga minyak global kini sedikit stabil berikutan pengurangan sementara import oleh China dan peningkatan pengeluaran oleh negara-negara pengeluar utama, Nurhisham memberi amaran bahawa prospek pasaran pada suku ketiga tahun ini masih tidak boleh dipandang ringan. Para penganalisis menjangkakan Julai dan Ogos sebagai tempoh “sangat tidak selesa” untuk pasaran minyak global ekoran peningkatan semula permintaan dan kekurangan bekalan fizikal yang masih berterusan, termasuk ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik di laluan perkapalan Selat Hormuz. Beliau turut menegaskan bahawa tiada jaminan harga bahan api akan kekal stabil antara Julai hingga September, dan negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada simpanan strategik untuk tempoh yang panjang.

Di samping isu harga, Nurhisham turut menyuarakan kebimbangan mengenai trend penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih membimbangkan walaupun pelbagai langkah rasionalisasi telah dilaksanakan, termasuk pengenalan aturan kerja fleksibel dalam sektor awam. Data kerajaan menunjukkan penggunaan petrol masih meningkat sedikit, dengan kemungkinan rakyat mengurangkan perjalanan pada hari bekerja tetapi lebih aktif bergerak pada hujung minggu dan cuti panjang. Selain itu, kerajaan turut memperketat Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) khususnya bagi sektor logistik bagi menjana penjimatan yang lebih berkesan, sambil mengumumkan peluasan Skim Subsidi Diesel (SKTS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Sumber : Berita Harian