
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen mengesan wujud rangkaian kartel yang kini dalam siasatan, membabitkan kegiatan pegawai senior merekrut petugas baru supaya menyertai salah laku rasuah dalam jabatan itu di pintu masuk negara secara ‘counter setting’ bagi memperoleh habuan lumayan.
Tindakan itu dikatakan wujud sejak kegiatan counter setting atau penetapan kaunter dikesan dalam jabatan itu sejak 2017 dan keengganan mana-mana pegawai baharu menurut arahan kumpulan terbabit akan menyebabkan mereka diboikot dan dipulaukan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, ketika mendedahkan kegiatan itu, mengakui ramai lagi pegawai Imigresen yang terbabit salah laku rasuah di pintu masuk negara akan dikenakan tindakan selepas ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, pemantauan terhadap mereka yang terbabit terus dilakukan pihaknya untuk mengumpulkan semua bukti bagi memastikan pegawai yang menjejaskan integriti Imigresen itu kelak bukan setakat dikenakan tindakan tatatertib dalaman, tetapi didakwa secara jenayah.
“Sebenarnya tangkapan dibuat PDRM dan SPRM terhadap kakitangan Imigresen yang terbabit jenayah rasuah di pintu masuk negara adalah susulan maklumat yang kita berikan kepada mereka kerana jika tindakan dibuat pihak kita saja, mereka yang bersalah hanya dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.
“Namun, jika tindakan jenayah diambil, mereka juga boleh didakwa di mahkamah dengan rampasan dibuat terhadap aset atau wang diperoleh hasil salah laku itu, sekali gus membanteras kegiatan ini,” katanya..