
SEREMBAN: Seorang lelaki 56 tahun mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas diperdaya seorang pelakon wanita dan suaminya.
Penipuan berkenaan didakwa membabitkan urusan penjualan tanah lot kurnia di Selangor yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, berkata laporan dibuat lelaki itu pada 7 Januari lalu.
“Pelakon itu bersama suami adalah suspek dalam satu kes yang disiasat berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan Negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta,” katanya.
Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan beberapa tindakan awal sudah diambil memandangkan suspek kini dipercayai tidak berada di Semenanjung.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak. Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” katanya.