Pelajar UMPSA hina Islam, pijak al-Quran

Foto BH

KUANTAN: Kerajaan negeri memandang serius tindakan pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan perbuatan menghina kemuliaan Nabi Muhammad SAW dan kesucian al-Quran

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja amat mendukacitakan, malah lebih sensitif apabila ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

Katanya, tindakan atau kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan, menjejaskan keharmonian serta merosakkan asas perpaduan.

“Justeru, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta pihak UMPSA untuk menjalankan siasatan dan menguruskan kes ini secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang serta peraturan.

“Saya juga menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda agar sentiasa berfikir panjang dan berhati-hati dalam setiap tindakan serta perkongsian, terutama di ruang awam dan media social,” katanya.

Sejak semalam tular di media sosial, gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.

Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.

Berikutan itu, seorang penuntut berusia 21 tahun direman empat hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan susulan tular gambar lelaki memijak al-Quran dan memuat naik di media sosial.