60 pelajar cemerlang SPM 2025 dari Padang Terap ke Jepun dan Indonesia

Foto Bernama

KUALA NERANG: Enam puluh pelajar di daerah Padang Terap yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, berpeluang mengikuti lawatan pendidikan ke Jepun dan Indonesia.

Langkah itu adalah penghargaan yang ditawarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Anak Muda Madani Kedah

Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim, berkata semua pelajar terbabit adalah calon dari dua sekolah angkat NGO itu serta tujuh sekolah lain di Padang Terap.

“Pelajar cemerlang dari sekolah angkat membabitkan seramai 20 orang akan saya bawa untuk lawatan pendidikan ke Jepun, manakala 40 lagi dari sekolah lain pula akan dibawa ke Jakarta, Indonesia.

“Awalnya, saya bercadang membawa pelajar cemerlang dari sekolah angkat itu ke London tetapi disebabkan konflik di Asia Barat, saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Daerah untuk menukar destinasi ke Jepun,” katanya.

Zuraidi berkata, lawatan pendidikan ke dua negara itu dijangka diadakan pada Mei depan sebelum pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).