Pelajar Phd UKM Terima Anugerah Berprestij di Taiwan

Foto FB UKM

BANGI: Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurin Erdiani Mhd Fadzil dianugerahkan Emerging Scholar Award di Taiwan.

Anugerah berprestij sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Teknologi dan Masyarakat ke-21 2025 itu dianugerahkan oleh Common Ground Research Networks yang berpusat di Illinois, Amerika Syarikat.

Ia diberikan sebagai pengiktirafan kepada penyelidik muda yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, dedikasi terhadap penyelidikan serta potensi besar dalam membentuk masa depan ilmu dan teknologi.

Nurin adalah seorang daripada lima penerima yang dipilih dari seluruh dunia bagi anugerah itu pada tahun ini.

Penerima lain adalah dari institusi pendidikan tersohor seperti University of Cambridge (United Kingdom), Ontario College of Art and Design University (Kanada), National University of Singapore (NUS) dan University of the Pacific, San Francisco (Amerika Syarikat).

Pada persidangan antarabangsa berkenaan, Nurin membentangkan kajian yang membangunkan satu kerangka pembelajaran multimodal untuk pengajaran penulisan akademik Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL) khususnya dalam konteks penuntut universiti.

Menurut Nurin, tujuan utama kerangka itu adalah untuk menyediakan pendekatan pedagogi yang lebih bersifat holistik, interaktif dan bersesuaian dengan keperluan penuntut pada abad ke-21.

Katanya, kerangka itu mengintegrasikan enam konstruk utama yang saling melengkapi iaitu mengintegrasi kecerdasan buatan (AI), penggunaan teknologi digital, reka letak tipografi, nilai estetik, isyarat kontekstual dan kekohesifan penulisan.