Pelajar Bawah 16 Tahun Ditegah Guna Telefon Pintar

Foto Fail

PUTRAJAYA: Pelajar berumur 16 tahun ke bawah dilarang menggunakan telefon pintar sebagai antara tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet hari ini menetapkan larangan itu bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.

Langkah lain ialah meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah, menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun serta penambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan nilai dan akhlak.

“Kabinet menumpukan masa panjang terhadap isu pendidikan dan masalah disiplin pelajar yang membimbangkan ibu bapa serta masyarakat.

“Dalam hal seperti ini, kita tidak boleh ambil tindakan tergesa-gesa, ia kena teliti tetapi ada beberapa langkah yang boleh dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Presint 5 di sini, hari ini.

Anwar berkata, langkah pertama ialah memastikan keselamatan di sekolah diberi keutamaan dengan pemantauan rapi oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).