
GUA MUSANG: Sekawan gajah yang turun minyak menyerang seorang pekerja pembalakan di kawasan penempatan pekerja di Aring 8 di sini pada Rabu.
Dalam kejadian maut yang mengerikan kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 43 tahun dikatakan berada di kawasan rumah kongsi sebelum sekumpulan gajah liar muncul.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, beberapa rakan sekerja mangsa melarikan diri selepas menyedari kehadiran haiwan itu.
“Sekawan gajah dilihat berada di kawasan penempatan pekerja terbabit sebelum menyerang mangsa.
“Mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Beliau berkata, mangsa ditemui maut pada jam 7 pagi keesokan harinya dalam keadaan tragis dengan kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.