Peguam harap inkues dedah punca kematian Zara Qairina

Foto Fail

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengulangi harapan mereka untuk mendapatkan kebenaran mengenai punca kematian pelajar itu pada inkues kematiannya di Mahkamah Koroner, di sini, yang bermula esok.

Ketika dihubungi, peguam Shahlan Jufri berkata beliau bersama barisan guaman mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat sudah bersedia untuk membantu Mahkamah Koroner sepanjang prosiding yang berlangsung selama kira-kira sebulan hingga akhir September itu.

Katanya, inkues itu memang diminta mereka melalui permohonan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini bagi mencari punca yang boleh menjurus kepada kematian Zara Qairina pada 17 Julai lalu setelah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya sehari sebelum itu.

“Pasukan peguam sudah bersedia untuk membantu mahkamah mencapai kebenaran dalam kes kematian Zara. Inkues ini adalah untuk mendapatkan kebenaran mengenai apa yang berlaku terhadap arwah,” katanya.

Ditanya sama ada ibu arwah Zara Qairina bakal dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama inkues, Rabu ini, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada pihak pendakwa raya dari AGC selaku Pegawai Pengendali inkues.

“Belum dapat dipastikan sama ada ibu arwah dipanggil pada hari pertama inkues, ia bergantung kepada susunan saksi oleh pihak Pegawai Pengendali.

“Bilangan saksi dijangka lebih kurang seramai 70 orang, tapi jumlah ini boleh berubah mengikut keperluan Pegawai Pengendali dan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.