
KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan kerana memiliki dua hotel berhampiran Pangkalan TLDM Lumut, Perak, memaksa kontraktor untuk menyewa hotel miliknya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan pegawai berkenaan memaksa enam hingga lapan kontraktor menyewa hotelnya.
“Dalam kes berkenaan, dia paksa enam ke lapan kontraktor menyewa hotelnya dengan meletakkan pekerja-pekerja mereka sebab kontrak TLDM guna pekerja luar dan sebagainya, mereka perlu penginapan, dipaksanya untuk bayar.
“Jadi saya nak tuduh pemberi ke penerima? Pemberi ini kehidupan mereka dalam ketakutan, stres, paksaan… bisnes dia akan bankrap,” katanya.
Kedua-dua hotel jenis bajet itu, yang menawarkan harga murah iaitu sekitar RM50 hingga RM70 bagi penginapan satu malam, terletak hanya sekitar kurang 10 kilometer dari Pangkalan TLDM.
Walaupun berstatus hotel bajet, difahamkan, hasil siasatan SPRM mendapati, kedua-dua hotel berkenaan bernilai sekurang-kurangnya RM2 juta mengikut perkembangan semasa.